Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Rumah Bangsa perlu meneliti dengan sebaik-baiknya setiap permohonan dan hasrat individu yang ingin kembali ke landasan perjuangan UMNO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, ia bagi memastikan mereka yang mahu kembali benar-benar ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

“Keikhlasan, ketaatan serta kejujuran dalam perjuangan adalah asas penting dalam sesebuah organisasi.

“Nilai-nilai ini perlu dipelihara bagi memastikan keharmonian, kekuatan dan kestabilan parti terus terjamin demi masa depan perjuangan UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama.

Katanya, sempena keberkatan bulan Ramadan, UMNO melihat tempoh ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan semula tali perjuangan dalam kalangan ahlinya.

Sementara itu, Mohd Zaidy menyatakan sokongan terhadap seruan Ahmad Zahid yang membuka pintu penyatuan kepada semua bekas ahli UMNO sama ada dipecat atau digantung.

“Ramadan al-Mubarak mengajak memperkukuhkan silaturahim, memupuk kebersamaan, memelihara ukhuwah sesama Muslim serta saling bermaafan.

“Usaha ke arah penyatuan ini adalah satu langkah yang amat baik dan bertepatan dengan nilai-nilai yang dianjurkan oleh agama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast