KUALA LUMPUR – Rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya menyegerakan pembayaran pencen penjawat awam diselaraskan mengikut formula sebelum pindaan 2013, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan esok.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu melibatkan pembayaran tunggakan pencen dianggarkan RM1.7 bilion mulai Januari 2022, bukan sahaja kepada Aminah Ahmad dan 56 pesara perkhidmatan awam), malah kepada 531,976 pesara.
Selain kerajaan, rayuan itu turut dikemukakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk mengetepikan semakan kehakiman Aminah yang juga pesara di Kementerian Luar Negeri.
Rayuan kerajaan akan diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Lim Chong Fong yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Pada 9 September tahun lalu, panel berkenaan selesai mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang berhujah bagi pihak perayu (kerajaan) manakala peguam Datuk Dr. Abd. Shukor Ahmad dan Datuk Dr. Baljit Singh mewakili Aminah.
Di Mahkamah Tinggi, Aminah memohon perintah mandamus bagi memaksa kerajaan menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013.
Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.
Beliau yang memfailkan semakan kehakiman atas kapasiti peribadi dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam turut memohon perintah agar responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayarnya, melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Aminah memfailkan saman terhadap kerajaan dengan mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen menyebabkan keadaan yang agak merugikan kepada beliau berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini mengikut Akta Pelarasan Pencen 1980.
Pada 16 Januari tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh membenarkan semakan kehakiman Aminah dan mengarahkan kerajaan dan JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula tarikh penghakiman.
Bagaimanapun, pada 4 Mac 2025, hakim berkenaan membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung pelarasan bayaran pencen berkuat kuasa mulai Januari 2022, sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.
Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam, justeru mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah.
Mahkamah tertinggi negara turut memutuskan peruntukan itu yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.
Sehubungan itu, Aminah memfailkan semakan kehakiman ekoran keengganan berterusan kerajaan untuk menyelaraskan pencen walaupun selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2023. – MalaysiaGazette
















