Sumber foto: Portal Sabah News Today.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 pimpinan Armada Bersatu Sabah mengumumkan peletakan jawatan dalam sayap pemuda parti itu serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Armada Bersatu Sabah, Hisyam Hazaril berkata, keputusan tersebut turut melibatkan pembubaran jawatankuasa Armada Negeri Sabah.

Menurutnya, langkah itu dibuat mengambil kira perkembangan dalaman parti yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

“Kami amat kecewa melihat konflik dalaman parti yang semakin berlarutan dengan serangan terbuka pimpinan serta pertikaian yang berlaku secara terbuka sehingga mencalarkan imej parti,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan portal Sabah News Today.

Tambah Hisyam, pendekatan memecat serta tindakan disiplin yang didakwa tidak konsisten diambil oleh Bersatu Pusat turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pimpinan Armada di Sabah.

“Kami berpendirian bahawa anak muda menolak politik perpecahan, serangan terbuka dan budaya pecat-memecat yang semakin menjadi norma dalam parti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli Armada di Sabah yang memberikan sokongan sepanjang tempoh memegang amanah di dalam parti itu. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast