Abdul Kadir Sheikh Fadzir
Abdul Kadir Sheikh Fadzir

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dilaporkan kembali menyertai UMNO.

Perkara tersebut dikatakan dimaklumkan sendiri oleh beliau ketika menghadiri satu musyawarah melibatkan lapan parti Melayu yang membincangkan isu-isu Islam dan bumiputera di ibu pejabat UMNO di sini, Khamis lalu.

Musyawarah berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut seorang pemimpin parti politik yang turut menghadiri pertemuan berkenaan, Abdul Kadir memaklumkan bahawa beliau telah kembali kepada UMNO dan segala jemputan selepas ini bukan lagi atas kapasiti Ikatan.

“Beliau mengumumkan telah kembali kepada UMNO dan memaklumkan kepada Asyraf bahawa segala jemputan selepas ini bukan lagi atas kapasiti Ikatan.

“Beliau secara rasminya telah kembali ke rumah UMNO,” kata sumber yang enggan namanya didedahkan.

Difahamkan, keputusan itu dibuat sebagai menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini membuka pintu “Rumah Bangsa” kepada semua pemimpin Melayu tanpa sebarang syarat.

Abdul Kadir sebelum ini memimpin Ikatan sejak parti itu dilancarkan pada 15 Mei 2015 selepas beliau meninggalkan UMNO.

Pada 2016, Ikatan di bawah kepimpinan beliau turut menjalinkan kerjasama politik dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, seorang pemimpin Ikatan mengesahkan Abdul Kadir tidak lagi bersama parti berkenaan, namun beliau dikatakan masih bersedia untuk terus menyumbang sebagai penasihat. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast