Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya , Rob Friend.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan, Rob Friend kecewa dengan penolakan rayuan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini terhadap tujuh pemain Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau juga senada dengan FAM seperti dalam satu kenyataan sebelum ini apabila berpendapat hukuman yang diberikan tidak seimbang meskipun mendapat pengurangan.

Friend bagaimanapun menyeru semua tetap memberikan sokongan terhadap skuad kendalian Peter Cklamovski menghadapi Vietnam dalam perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia hujung bulan ini.

“Tanggungjawab kami sekarang adalah untuk berdiri teguh di belakang para pemain, menumpukan perhatian pada perlawanan akan datang menentang Vietnam dan memastikan bola sepak Malaysia muncul lebih kuat dan lebih bersatu daripada pengalaman ini,” katanya.

Baru-baru ini, CAS menolak rayuan FAM untuk mengenepikan penggantungan selama 12 bulan tujuh pemain warisan negara.

Walau bagaimanapun, CAS berkata, penggantungan tersebut hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Tomás Garcés Rattaro, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

CAS dalam satu kenyataan hari ini turut mengesahkan keputusan FIFA mengenakan denda CHF350,000 kepada FAM kekal berkuat kuasa.

“Ini bermakna para pemain boleh menyambung latihan dengan kelab masing-masing sepanjang tempoh larangan,” kata CAS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast