SEBERANG JAYA – Dua wanita dipercayai pekerja sebuah taska dalam pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang disyaki didera hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 22 tahun itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan menjalankan siasatan lanjut.
Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati pihak polis dan forensik menjalankan siasatan termasuk membawa keluar beberapa barang kes yang dipercayai bagi melengkapkan siasatan.

Selain itu, kedua-dua suspek juga dibawa keluar menaiki kereta polis dalam keadaan tangan bergari.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan tangkapan kedua-dua wanita mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
”Mereka akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan permohonan reman esok,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan. – MalaysiaGazette
















