KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mencadangkan Datuk Dr Ab Halim Tamuri diberikan kepercayaan untuk memimpin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, cadangan itu bukan lahir daripada sentimen politik semata mata tetapi berdasarkan penilaian rasional terhadap kewibawaan, integriti serta ketokohan beliau dalam bidang akademik, kepimpinan masyarakat dan pengalaman politik yang matang.
“Halim Tamuri dikenali sebagai seorang tokoh ilmuwan yang memiliki latar belakang akademik yang kukuh serta perjalanan hidup yang dibina atas asas ilmu, akhlak dan nilai nilai Islam.
“Sebagai seorang profesor dalam bidang pendidikan Islam, beliau bukan sahaja membawa kekuatan pemikiran yang mendalam bahkan menampilkan watak kepimpinan yang sederhana, berprinsip dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan.
Halim merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, pengalaman Halim sebagai pemimpin Pas Selangor serta peranan sebagai ADUN memberikan beliau kefahaman yang mendalam terhadap realiti politik dan masyarakat di negeri itu.
“Selangor memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan kekuatan pelbagai pihak dalam PN dengan pendekatan yang matang dan berhemah.
“Pemuda Pas Selangor juga melihat bahawa kepimpinan masa depan Selangor perlu digerakkan oleh tokoh yang membawa imej bersih, berintegriti dan dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Padada 30 Disember lalu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha agung dan Pengerusi PN Selangor selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai pengerusi gabungan. – MalaysiaGazette
















