Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bergambar bersama hadirin yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Ketua Pembangkang 2026 di Dewan Putra MAKSAK, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 09 MAC 2026.

PUTRAJAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan tidak akan kembali menyertai UMNO meskipun parti itu terbuka menerima bekas ahlinya tanpa sebarang syarat menerusi gagasan Rumah Bangsa.

Sebaliknya, beliau berkata, fokus utama ketika ini adalah untuk mengajak semua parti termasuk UMNO bekerjasama dengan agenda ‘reset’ yang dibawanya selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kita perlukan kekuatan maka sepatutnya UMNO menjadi salah satu anggota yang patut bersama perjuangan ini untuk memastikan segala apa yang berlaku dapat kita selesaikan dengan baik… (jadi) tak payah masuklah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bergambar bersama ketua-ketua parti pada Majlis Berbuka Puasa Ketua Pembangkang 2026 di Dewan Putra MAKSAK, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 09 MAC 2026.

Turut hadir beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan; Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Awang Hashim; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kehadiran pemimpin pelbagai parti hari ini adalah atas dasar ikatan persahabatan.

“Ini bukan politik, ini adalah merupakan majlis iftar, tapi kepada yang hadir hari ini, kepada sahabat-sahabat saya nak ucap terima kasih,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata, parti itu membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast