PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menyediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5 bagi kira-kira 125,000 pembantu tadbir (Perkeranian dan Kewangan) sebagai langkah menambah baik pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan berita baik itu berkata, langkah itu diambil selepas isu kedudukan gaji dan laluan kerjaya bagi kumpulan berkenaan sering dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), khususnya melibatkan kategori kakitangan yang berada pada tangga gaji paling rendah.
Menurutnya, walaupun pelaksanaan SSPA telah memberi kenaikan kepada sebahagian penjawat awam, kerajaan melihat masih terdapat keperluan untuk menambah baik kebajikan kumpulan tersebut agar mereka tidak terus berada pada tahap gaji yang terlalu rendah.
“Jumlah mereka sekitar 125,000 orang. Walaupun ada kenaikan mengikut SSPA, kita lihat ada keperluan untuk menjaga kategori yang terlalu rendah ini supaya dapat ditingkatkan sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan cadangan laluan kenaikan gred bagi kumpulan Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Kewangan) berkenaan.
Bagaimanapun katanya, kenaikan gred itu tertakluk kepada syarat mengikuti kursus khas yang akan disediakan kerajaan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka, termasuk pendedahan kepada teknologi maklumat (IT).
“Kursus khas ini tidak lama, mungkin sekitar dua hingga tiga minggu sahaja. Tujuannya untuk memastikan mereka mengikuti perkembangan kemahiran yang diperlukan dalam perkhidmatan,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan menyasarkan kursus tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh enam bulan melibatkan kesemua 125,000 kakitangan terbabit.
“Sekiranya berjalan lancar, kerajaan mensasarkan pelaksanaan kenaikan pangkat itu dapat dibuat selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette
















