Aminah Ahmad (belakang) hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya bagi keputusan rayuan kerajaan untuk mengetepikan perintah supaya membayar pelarasan pencen kepada penjawat awam. 9 MAC 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar tunggakan pencen sebanyak RM1.7 bilion kepada penjawat awam yang diselaraskan mengikut formula sebelum pindaan 2013.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terhadap pesara Kementerian Luar, Aminah Ahmad dan 56 pihak lain.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lim Chong Fong sebulat suara berpuas hati semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Aminah mewakili 56 individu merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah yang mewajarkan mereka campur tangan untuk memperbetulkannya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membenarkan rayuan kerajaan tanpa kos kerana semakan kehakiman itu melibatkan isu kepentingan awam.

Kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman Aminah dan mengarahkan pencen diselaraskan mengikut formula sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013.

Pada 16 Januari tahun lalu, Hakim Datuk Amarjeet Singh mengarahkan kerajaan dan JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula tarikh penghakiman.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu melibatkan pembayaran tunggakan pencen dianggarkan RM1.7 bilion mulai Januari 2022, bukan sahaja kepada Aminah dan 56 pesara perkhidmatan awam), malah kepada 531,976 pesara.

Sebahagian pesara perkhidmatan awam hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini bagi mendengar rayuan kerajaan untuk mengetepikan perintah supaya membayar pelarasan pencen kepada penjawat awam. 9 MAC 2026.

Pada prosiding hari ini, Hakim Azhahari yang membacakan alasan penghakiman berkata, isu pelarasan pencen yang dikemukakan Aminah dalam semakan kehakiman, sepatutnya dibangkitkan dalam saman pemula yang difailkannya pada 2017 (OS 2017).

Ujar beliau, penyalahgunaan proses mahkamah berlaku apabila pihak-pihak membangkitkan dalam prosiding baharu, perkara yang sepatutnya dilitigasi dalam tindakan terdahulu.

“Cubaan melalui prosiding semasa untuk melitigasi dan membuka semula isu yang telah diputuskan dalam tindakan terdahulu jelas menunjukkan suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” ujarnya.

Menurut Hakim Azhahari, Mahkamah Tinggi pada 2017 berpendapat, Aminah gagal membuktikan kerugian yang dialaminya ekoran pelaksanaan pindaan pelarasan pencen 2013.

Ujarnya, Mahkamah Tinggi pada 2017 memutuskan dakwaan pemohon bahawa pelaksanaan kadar tahunan 2% dalam pelarasan pencen sebagai kurang menguntungkan, adalah tidak tepat.

“Pada pandangan kami, isu kerugian yang dibangkitkan dalam OS 2017 adalah bagi menyokong tuntutan pembayaran tunggakan pelarasan pencen.

“Walau bagaimanapun, setelah gagal meyakinkan mahkamah dalam OS 2017 mengenai isu kerugian tersebut, pemohon dalam permohonan semakan kehakiman (hari ini) cuba bergantung kepada isu bahawa pelarasan pencen sepatutnya dibuat kerana terdapat peningkatan gaji penjawat awam.

“Isu tuntutan pemohon untuk pelarasan pencen berdasarkan pindaan 2013 sebenarnya termasuk dalam skop tuntutan dalam OS 2017. Ia boleh dibangkitkan sebagai sebahagian daripada perkara yang dipertikaikan ketika itu,” katanya.

Sebahagian pesara perkhidmatan awam hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini bagi mendengar rayuan kerajaan untuk mengetepikan perintah supaya membayar pelarasan pencen kepada penjawat awam. 9 MAC 2026.

Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 2024, Aminah memohon perintah mandamus bagi memaksa kerajaan menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan yang dikatakan Aminah sebagai merugikan.

Pada 9 September tahun lalu, panel berkenaan selesai mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang berhujah bagi pihak perayu (kerajaan) manakala peguam Datuk Dr. Abd. Shukor Ahmad dan Datuk Dr. Baljit Singh mewakili Aminah.

Sementara itu, Baljit ketika ditemui wakil media selepas prosiding berkenaan memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan . – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast