Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui mati dibunuh.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditemukan mati disyaki dibunuh di kawasan lapang belakang sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Macallum di sini, tengah malam tadi.

Mayat dipercayai warga asing itu dijumpai anggota polis dari Balai Polis Jalan Patani yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah, kira-kira pukul 12.05 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa tanpa identiti itu dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan pada kepala.

“Keterangan yang diperolehi di tempat kejadian dan badan mangsa menunjukkan kecederaan pada kepala disyaki akibat dipukul dengan objek tumpul.

“Hasil bedah siasat oleh Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang turut mengesahkan kematian mangsa akibat hentakan objek keras dan tumpul pada kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta tampil membantu pihak berkuasa dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Suhaimi Mat di talian 019-232 7008,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast