KLUANG – Seorang lelaki maut manakala dua anak tirinya cedera selepas kereta dipandu terbalik kemalangan dengan jentera berat JCB berhampiran Ladang Tabung Haji, Jalan Kota Tinggi di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Juazman Miskon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12.37 tengah malam.
Susulan itu, seramai 11 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan sebuah jentera berat JCB. Kemalangan tersebut menyebabkan kereta tersebut terbakar kira-kira 80 peratus.
“Terdapat empat mangsa dalam kemalangan ini dan mereka dikeluarkan oleh orang awam sebelum kereta terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut pemandu Toyota Vios, Mohd Nor Salihin, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis.
Katanya, dua anak tirinya, Isyah Radiah Mohd Aizam, 10, cedera di kepala dan adiknya, Nawwal Husna, 7, patah kaki sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam.
Pemandu jentera berat itu pula katanya, Mohd Firdaus Mohammad Nasir, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, operasi tersebut tamat pukul 2.46 pagi yang turut dibantu BBP Bandar Tenggara, Kota Tinggi.- MalaysiaGazette















