Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam sidang akhbar bersama di Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini menggerakkan kempen ‘Tangkap Azam Baki’ sebagai tanda protes terhadap kegagalan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan.

Dalam satu sidang media bersama, Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan tindakan Anwar menyambung kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun lalu adalah manifestasi kegagalan agenda reformasi yang dilaungkan sejak zaman pembangkang.

Amira Aisya berkata, tanggungjawab menjawab tuntutan itu ditujukan kepada Perdana Menteri.

“Saya letakkan beban 100 peratus di bahu Perdana Menteri.

“Rakyat tidak lupa bagaimana beliau mempertahankan Azam hanya dengan alasan ‘rajin’ sebaik laporan Bloomberg mengenai isu integriti tular tanpa melalui proses siasatan yang telus,” katanya.

Jelasnya lagi, kempen itu turut memperlihatkan sikap dwistandard kerajaan terhadap laporan media antarabangsa.

“Sekali lagi saya nak ingatkan, ketika Anwar menjadi Ketua Pembangkang atau sebelum itu lagi, beliau paling kerap mempercayai media angtarabangsa kerana kononnya media dalam negara tak telus, banyak pengaruh kerajaan, susah nak dapatkan laporan betul-betul berpihak kepada pembangkang.

“Tapi sekarang apabila orang guna Bloomberg kata lain pula.

“Kita janganlah menuduh sesuka hati apabila media luar buat laporan salah laku pada negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Amira Aisya turut menyeru rakyat Malaysia untuk membuat laporan dan menuntut agar SPRM dibersihkan serta-merta tanpa perlu menunggu arahan ahli politik.

“Salah laku dan rasuah tidak akan berhenti sendiri. Ia hanya akan terhenti apabila rakyat Malaysia berkata ‘cukup’.

“Kontrak Azam dijangka tamat pada Mei ini dan kempen ini dilihat sebagai usaha terakhir mendesak kerajaan agar tidak memperbaharui jawatan beliau demi menjaga integriti badan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz turut meluahkan kegusaran mendalam terhadap integriti SPRM yang didakwa semakin terhakis akibat amalan pilih kasih.

“Perdana Menteri Malaysia hari ini pernah dijatuhi hukuman hingga penjara atas salah guna kuasa.

“Ini bukan perkara pelik bagi dia, jadi kalau inilah keadaannya, saya risau kalau sesuatu tidak dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan tersebut berasas memandangkan terdapat corak di mana individu yang menentang kerajaan sering menjadi sasaran siasatan dan tindakan undang-undang, manakala pihak yang menyokong seolah-olah mendapat perlindungan.

“Di dalam SPRM masih ada pegawai yang berintegriti, namun kewujudan pimpinan yang dilihat berat sebelah mencalarkan imej badan tersebut.

“Jika tekanan rakyat tidak diendahkan, kita bimbang desakan untuk menggantikan Azam akan menjadi lebih besar,” katanya.

Mukhriz turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang digerakkan oleh parti Muda serta protes yang disuarakan oleh golongan mahasiswa.

“Pejuang akan berdiri teguh bersama-sama kumpulan ini bagi memastikan tuntutan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dilaksanakan dengan telus.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan. Keadaan negara sekarang sangat membimbangkan,” tambah beliau lagi.

Kempen Tangkap Azam Baki akan dimulakan secara atas talian dengan menggunakan semua saluran.

Selain itu, sesi jelajah dari negeri ke negeri juga akan dilakukan sebagai gerakan untuk menyebarkan isu penyalahgunaan kuasa serta rasuah yang berlaku di negara ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast