JAM menunjukkan pukul tujuh setengah petang. Jalan raya yang petang tadi sesak kini semakin lengang. Beberapa jam sebelumnya, ramai antara kita bergelut dengan urusan harian, mengejar waktu pejabat, meredah panas menghantar pesanan, mengurus pelanggan, atau menyiapkan tugasan yang tidak pernah habis. Kemudian azan Maghrib berkumandang.
Tegukan pertama air dan suapan pertama selepas seharian berpuasa terasa begitu nikmat. Namun bersama rasa syukur itu, hadir juga satu perasaan yang cukup biasa dalam Ramadan; mengantuk dan kepenatan. Di sinilah bermulanya satu perjuangan kecil dalam diri setiap orang.
Kehidupan hari ini tidak mudah. Kos sara hidup meningkat, komitmen keluarga bertambah, dan tekanan kerja tidak lagi terhad pada waktu pejabat. Ramai yang bukan sahaja penat secara fizikal, tetapi letih secara mental. Istilah “burnout” bukan lagi asing. Apabila berbuka puasa, tubuh secara semula jadi mahu berehat.
Darah tertumpu kepada sistem pencernaan, mata terasa berat, dan sofa di ruang tamu kelihatan sangat menggoda. Secara logiknya, selepas bekerja seharian, badan memang berhak untuk berehat. Namun Ramadan mengajar sesuatu yang lebih besar daripada sekadar rehat fizikal.
Walaupun penat, ramai yang tetap bangun mengambil wuduk. Kain pelikat diikat kemas, telekung disarung rapi, dan langkah diatur menuju surau atau masjid. Inilah kekuatan yang sering kita pandang biasa, sedangkan hakikatnya ia luar biasa. Solat Isyak dan solat Terawih yang dilakukan selepas seharian berpuasa adalah satu bentuk disiplin jiwa. Ia bukan sekadar rutin, tetapi tanda kesungguhan.
Setiap langkah ke masjid adalah kemenangan kecil melawan rasa malas dan lemah diri. Di sepanjang bulan Ramadan ini, ada yang mula terasa berat. Namun masih ramai yang setia memenuhi saf demi saf. Mereka faham bahawa dunia ini memang tempat berpenat, tetapi malam Ramadan adalah ruang untuk mengumpul kekuatan rohani.
Apabila melangkah masuk ke ruang solat, suasananya berbeza. Udara terasa lebih tenang. Bacaan al-Quran oleh imam mengalir perlahan, menenangkan fikiran yang kusut dengan urusan kerja dan kewangan. Kemuncaknya adalah ketika sujud. Saat dahi menyentuh sejadah, kita meletakkan diri pada posisi paling rendah di hadapan Tuhan. Pangkat, jawatan, tekanan kerja, masalah kewangan dan segala beban seolah-olah dilepaskan seketika. Dalam sujud, kita belajar menyerah dan mengakui kelemahan diri.
Di situlah hati menjadi ringan. Solat malam di bulan Ramadan sebenarnya satu bentuk terapi jiwa. Ia tidak memerlukan bayaran. Ia tidak memerlukan temu janji. Cukup dengan wuduk dan niat yang ikhlas. Selepas beberapa rakaat, nafas terasa lebih teratur dan fikiran kembali jernih. Masalah mungkin belum selesai, tetapi hati menjadi lebih kuat untuk menghadapinya.
Biasanya, semangat di awal bulan sangat membara, tetapi pertengahan bulan menjadi ujian sebenar. Rasa penat semakin jelas, rutin kerja tetap berjalan seperti biasa. Namun jika kita melihat solat Terawih dan ibadah malam bukan sebagai beban, tetapi sebagai ruang untuk “berhenti seketika” daripada tekanan dunia, kita akan lebih menghargainya.
Jangan biarkan rasa mengantuk selepas berbuka menutup peluang untuk menghidupkan malam. Lawanlah sedikit rasa letih itu. Teruskan melangkah ke masjid atau sekurang-kurangnya dirikan solat di rumah dengan penuh khusyuk. Kerana Di situlah kita temui semula ketenangan.
Mohd Hamidi Adha Mohd Amin
Pensyarah,
Jabatan Senireka Perindustrian,
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah
















