KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk meneruskan perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mendengar hujahan awal daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.
Terdahulu, peguam utama Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Pok Teik, membangkitkan isu berkaitan kejelasan pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya, dengan mendakwa dokumen pertuduhan tidak memperincikan bagaimana kesalahan itu didakwa dilakukan.
Menurut beliau, pertuduhan yang dikemukakan tidak menjelaskan secara khusus bagaimana Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya seperti yang dinyatakan oleh pihak pendakwaan.
Malah hujahnya, kekurangan butiran tersebut menyukarkan pihak pembelaan untuk memahami asas dakwaan dan seterusnya menyediakan strategi pembelaan yang berkesan.
“Pertuduhan ini tidak sah kerana tiada penerangan jelas mengenai bagaimana tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan,” katanya di hadapan mahkamah.
Hisyam turut menegaskan di bawah undang-undang, cara sesuatu kesalahan dilakukan perlu dinyatakan dengan jelas dalam pertuduhan supaya tertuduh dapat mengetahui secara tepat dakwaan yang dihadapinya.
Menurutnya lagi, tanpa maklumat terperinci berhubung tindakan atau keputusan yang dikaitkan dengan tertuduh, pihak pembelaan berada dalam keadaan sukar untuk menyediakan pembelaan secara menyeluruh.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara tersebut sebelum ini telah dibangkitkan oleh pihak pembelaan melalui permohonan untuk membatalkan pertuduhan.
Beliau berkata, isu berkenaan boleh dibangkitkan semula oleh pihak pembelaan pada peringkat akhir kes pendakwaan sekiranya mereka berhasrat berbuat demikian.
Dalam kenyataan pembukaan pihak pendakwaan, Wan Shaharuddin turut menyatakan bahawa wang sumbangan berjumlah jutaan ringgit yang menjadi isu dalam kes ini tidak dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh, sebaliknya ke dalam akaun parti Bersatu yang ketika itu dipimpin Muhyiddin.
Menurutnya, pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti bahawa sumbangan tersebut tidak akan diterima oleh parti berkenaan sekiranya tertuduh bukan memegang jawatan Perdana Menteri pada waktu itu.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin kemudian memutuskan supaya perbicaraan diteruskan seperti yang telah dijadualkan.
Salah satu pertuduhan terhadap Muhyiddin didakwa berlaku antara hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, iaitu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Bagi empat pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu telah menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan.
Sementara itu, bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.
Perbicaraan kes berkenaan dijangka menyaksikan kira-kira 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan di hadapan mahkamah. -MalaysiaGazette
















