Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan perluasan bantuan subsidi tiket penerbangan FlySiswa bernilai RM400 bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar pada tahun ini berbanding 44,000 pelajar tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu selepas mengambil kira keluhan pelajar, khususnya dari Sabah dan Sarawak, mengenai kos perjalanan pulang ke kampus atau ke kampung halaman.

Menurut beliau, perkara tersebut turut dibincangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagi memastikan program itu diteruskan dan diperkasakan.

“Ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak, jadi kita teruskan FlySiswa. Tiket penerbangan bernilai RM400 ini merupakan subsidi untuk mengurangkan beban pelajar institusi pengajian tinggi bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata, sebelum ini bantuan itu hanya melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), namun kerajaan memutuskan untuk memperluaskan kelayakan kepada lebih banyak institusi.

Katanya, bantuan itu kini turut merangkumi pelajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), universiti separa kerajaan , institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta Institut Perladangan dan Komoditi.

Tambahnya, langkah tersebut diambil bagi memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati bantuan subsidi penerbangan yang disediakan kerajaan.

“Dengan perluasan ini, jumlah penerima dijangka meningkat kepada 50,000 pelajar pada tahun 2026 berbanding 44,000 pada tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast