KUALA LUMPUR – Syed Hasan Syed Ali mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkuat kuasa 1 April ini.
Ketua Penerangan Perkasa, Azrol Mansor berkata, keputusan itu dibuat Syed Hasan dalam Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa di Dewan Aminuddin Baki, Wisma Sejarah di sini, semalam.
Menurut beliau, kesemua ADT Perkasa menerima dengan hati terbuka keputusan Syed Hasan itu yang dibuat atas sebab-sebab tertentu.
“Mengikut Perlembagaan Perkasa, Jawatan Presiden Perkasa akan dipangku oleh Timbalan Presiden iaitu Borhan Ahmad Zakaria.
“Sementara itu, salah seorang Naib Presiden Perkasa, Datuk Zarin Mohd Yasin akan menjalankan tugas dengan memangku jawatan Timbalan Presiden Perkasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Azrol, beliau mewakili seluruh kepimpinan ADT Perkasa merakamkan ucapan terima kasih di atas segala jasa dan pengorbanan yang disumbangkan oleh Syed Hassan sepanjang tempoh 17 tahun bersama-sama pertubuhan tersebut.
“Saya juga mendoakan semoga apa juga platform yang bakal beliau ceburi selepas ini, dengan harapan semoga beliau akan terus maju jaya,” katanya. – MalaysiaGazette















