Pemangku Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Sanjeevan

KUALA LUMPUR – Pemangku Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan mempersoalkan ketiadaan wakil masyarakat India dalam senarai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai nama diumumkan dalam pelantikan tersebut, tiada seorang pun daripada komuniti India dipilih menganggotai badan penasihat itu.

Menurutnya, keadaan itu sukar difahami memandangkan Kuala Lumpur mempunyai ramai profesional India berkelayakan dalam pelbagai bidang termasuk peguam, arkitek, akademik serta tokoh masyarakat yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan bandar raya.

“Dengan jumlah profesional India yang ramai dan berkelayakan di Kuala Lumpur, mustahil seorang pun tidak layak untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Barisan Ahli Lembaga Penasihat DBKL 2026.

Sanjeevan turut menyifatkan situasi itu sebagai ironik memandangkan sebelum ini sering dinyatakan bahawa kira-kira 90 peratus masyarakat India menyokong kerajaan Madani pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Namun, katanya, apabila melibatkan soal pelantikan dan representasi dalam institusi penting seperti badan penasihat bandar raya, komuniti India seolah-olah tidak diberikan tempat.

Beliau berkata, tindakan seperti itu turut menimbulkan rasa kecewa dan kemarahan dalam kalangan masyarakat India khususnya pengundi yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tindakan seperti ini telah menyebabkan ramai dalam kalangan kaum India, khususnya pengundi kerajaan hari ini, berasa kecewa dan marah. Langsung tiada yang berkelayakan,” tegasnya.

Sanjeevan turut mempersoalkan mengapa sokongan masyarakat India sering ditekankan ketika musim pilihan raya namun tidak diterjemahkan dalam bentuk representasi apabila melibatkan pelantikan dalam institusi awam.

“Mengapa apabila tiba masa mengundi, kaum India begitu diperlukan tetapi selepas itu mereka diperlakukan seolah-olah tidak wujud dalam struktur pelantikan seperti ini?” soalnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast