KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan daripada 50 syarikat, badan korporat dan individu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM2.086 juta.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sumbangan itu merangkumi wang tunai berjumlah RM1.832 juta dan barangan keperluan bernilai RM254,000 untuk menyuntik semangat anggota ATM yang bertugas di musim perayaan ini.
“Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun lalu (RM2,101,420), namun saya tetap bersyukur kerana program ini masih mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan warga ATM.
“Penurunan ini seharusnya dilihat sebagai satu ruang dan peluang untuk kita menambahbaik kerjasama dengan lebih banyak rakan strategik pada tahun- tahun mendatang.
“Saya juga berharap agar pada tahun hadapan, kita akan melihat semula peningkatan dari segi jumlah penyumbang serta sumbangan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian membacakan ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di sini hari ini.
Tambah Adly, sebagai tanda terima kasih seperti tahun sebelumnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut meneruskan tradisi menyediakan Beg Hari Raya Aidilfitri kepada anggota ATM bertugas.
“Saya berharap, penyediaan beg raya dan sumbangan barangan seperti kuih raya, juadah tradisional dan kelengkapan harian, sedikit sebanyak dapat mengubati rindu dan menyuntik semangat kepada para perwira kita.
“Sumbangan ini bukan sekadar pemberian material, tetapi ia adalah simbol penghargaan dan pengiktirafan selain manifestasi rasa terima kasih daripada rakyat, badan korporat dan kerajaan.
“Wira-wira negara kita sentiasa gigih memberikan khidmat bakti dengan penuh setia dan ikhlas dan atas sebab itu, sangat penting untuk kita menzahirkan penghargaan, sokongan dan ingatan kepada semua anggota yang bertugas pada hari lebaran nanti,” jelasnya.

Beliau menambah, inisiatif itu diharap dapat mengubati kerinduan para perwira yang terpaksa berjauhan daripada keluarga demi menggalas amanah menjaga sempadan di darat, laut, udara, mahupun ketika mengibarkan panji negara dalam misi keamanan antarabangsa.
Pada masa sama, turut berlangsung gimik pelancaran Beg Hari Raya Aidilfitri yang membolehkan 16,000 beg dapat diagihkan kepada anggota yang bertugas di seluruh negara dan misi luar negara.
ATM dalam kenyataan berkata, barangan sumbangan itu telah dikumpulkan bermula Februari lalu dan dibungkus secara berfasa melibatkan tenaga kerja daripada ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).
“Kemuncaknya, sebanyak 400 beg terakhir berjaya disiapkan oleh ahli-ahli BAKAT yang menjadi simbol kasih dan sokongan kepada anggota yang berjauhan daripada keluarga ketika Syawal menjelang tiba,” menurutnya. – MalaysiaGazette
















