BUKIT MERTAJAM – Dua pengasuh direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dipercayai didera di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dalam Hospital Seberang Jaya semalam.
Perintah reman terhadap kedua-dua wanita yang berusia 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah bermula hari ini sehingga 16 Mac ini.
Penahanan itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah dalam keadaan tangan bergari serta diiringi pegawai polis, kira-kira jam 8.35 pagi tadi.
Artikel berkaitan: Bayi empat bulan maut disyaki didera di taska
Dua pekerja taska ditahan kes kematian bayi lelaki berusia 4 bulan
Saya tak maafkan pelaku, mahu tuntut keadilan – Mohd Syafaeez
Media semalam melaporkan seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Bapanya, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, berkata, dia tidak akan memaafkan individu yang didakwa bertanggungjawab atas kematian anaknya itu.
“Saya tidak akan maafkan pelaku dengan apa yang dia buat kerana perbuatan itu bukan sifat manusia.
“Sebagai bapa, saya akan ambil tindakan dan tuntut keadilan supaya bayi lain tidak menerima nasib sama seperti anak saya,” katanya sambil menambah jenazah bayinya itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut, Marang, Terengganu. – MalaysiaGazette
















