Tiada jaminan dibenarkan terhadap semua tertuduh.

BUTTERWORTH – Dua wanita antara lapan ahli Geng Adik Labu Besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang pada tahun lalu.

Tertuduh ialah Nur Alya Nadhira Che Hassan, 22; Nurul Natasha Mohammad Shukri, 23; Muhamad Samerin Shahrom, 35; Mohamed Aizat Rosmadi, 28; Aizal Abu Bakar, 23; Mohammad Zaini Yusoff, 27; Muhammad Azizi Abd Ghafar, 22; dan Muhamad Fitri Abdul Karim, 31.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng Adik Labu Besar di dalam premis C-10-17, Vista Perdana, Kampung Gajah di sini antara Mac hingga 16 Oktober 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V. Suloshani dan Maryam Jamielah Ab Manaf.

Nurul Natasha diwakili peguam Manjit Singh Mann manakala tujuh tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan kes akan disebut semula di Mahkamah Tinggi pada 4 Mei depan.

Terdahulu, media melaporkan, polis berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan jenayah harta benda khususnya kes pecah rumah di sekitar Pulau Pinang menerusi Op Shadow pada 15 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan itu diketuai seorang lelaki berusia 27 tahun dan mempunyai keahlian seramai lapan orang yang terdiri daripada penjenayah berulang.

Penjenayah tersebut didapati terlibat dalam sekurang-kurangnya 42 kes pecah rumah dengan kerugian hampir RM1 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast