Datuk C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Kebimbangan terhadap peningkatan insiden sensitif berkaitan kaum dan agama yang semakin tular di media sosial dibangkitkan di Dewan Negara hari ini oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Sivaraj Chandran.

Beliau berkata, situasi tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak ditangani dengan segera dan tegas, ia berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Menurutnya, walaupun Kementerian Perpaduan Negara tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan secara langsung, kementerian itu tetap perlu memainkan peranan kepimpinan dalam memastikan isu sensitif antara kaum ditangani secara berkesan.

“Kebelakangan ini kita menyaksikan beberapa insiden yang tular di media sosial, termasuk satu kes melibatkan seorang individu dikenali sebagai Tamim yang memuat naik video provokatif di platform TikTok.

“Jika perkara seperti ini tidak ditangani dengan tegas, ia boleh mencetuskan ketegangan dan menjejaskan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Sivaraj berkata, perkara lebih membimbangkan adalah apabila tidak kelihatan tindakan jelas walaupun isu-isu tersebut melibatkan pelbagai agensi serta kementerian berkaitan.

Menurutnya, keadaan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa tindakan provokatif yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum boleh dilakukan tanpa sebarang tindakan.

Beliau turut mengingatkan sebelum tahun 2018, isu kecil berkaitan rumah ibadat atau komuniti lazimnya diselesaikan secara matang di peringkat pihak berkuasa tempatan bersama pengurusan rumah ibadat masing-masing tanpa dijadikan bahan sensasi di media sosial.

“Namun, hari ini banyak perkara kecil diperbesarkan melalui media sosial sehingga menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Sikap provokatif seperti ini boleh datang daripada mana-mana pihak dan tidak seharusnya dibiarkan berterusan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Perpaduan Negara mengambil peranan lebih aktif sebagai pengantara antara kementerian berkaitan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi penguatkuasaan lain, bagi memastikan isu sensitif dapat ditangani dengan pantas dan berkesan.

Beliau turut berharap perkara tersebut dapat dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penyelesaian yang tuntas dapat dicapai dengan segera.

“Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada kestabilan negara dan pembangunan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast