Ernie Zakri.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Ernie Zakri menyifatkan muzik sebagai sesuatu yang universal dan tidak seharusnya dihadkan mengikut acuan tertentu di sebalik perdebatan netizen mengenai kualiti lagu raya.

Kata Ernie, setiap pendengar mempunyai cita rasa yang berbeza dan tidak adil untuk melabelkan sesebuah karya itu sebagai betul atau salah sehingga boleh menyekat kreativiti pengkarya.

“Muzik ini terlalu universal, jika kita nak menjelaskan sesuatu itu betul atau salah, takut nanti jadi had pada sang pengkarya.

“Baju raya kita pun ada cita rasa lain-lain, apatah lagi muzik. Berseronok saja, raya ini kita nak gembira okey?,” tulisnya dalam Threads.

Bagi menyokong pendapatnya, Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri turut memberikan contoh lagu raya ikonik nyanyian Amy Mastura yang suatu ketika dahulu dianggap moden, namun akhirnya berjaya diterima baik masyarakat.

“Lagu raya mana-mana pun okey, yang sesuai dengan cita rasa seronok saja.

“Yang tak ‘feel’ kita cari lagu lain okey?

“Kalau zaman dulu, lagu raya Setahun Sekali nyanyian Amy Mastura agak moden jika dibandingkan dengan karya lain. Tapi tetap diterima masyarakat dulu,” ujar isteri kepada penyanyi Syamel itu.

Pada masa sama, pelantun lagu Masing Masing itu menegaskan kenyataannya bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Kena ‘disclaimer’ siap-siap. Tiada kaitan dengan mana-mana pihak okey.

“Saya dan suami melancarkan lagu raya juga. Nak seronok-seronok sudi-sudilah mendengar tau,” tuturnya lagi.

Sebelum ini, Ernie dan Syamel melancarkan lagu raya berjudul Suasana Raya yang muzik videonya dirakamkan di Hong Kong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast