Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan segera dan jelas mengenai ketiadaan pendakwaan terhadap individu yang mengancam merobohkan rumah ibadat secara unilateral.

Menurutnya, dalam isu rumah ibadat itu, beberapa perkara telah diperjelaskan termasuk berkaitan status tanah di mana sebahagian daripada struktur tersebut dibina.

Jelasnya, kebanyakan negeri telah pun membangunkan mekanisme yang kukuh untuk menanganinya, menyebabkan banyak kes berjaya diselesaikan secara aman dan melalui proses sewajarnya.

Tambah beliau, proses perundangan itu memastikan bahawa undang-undang, berdasarkan fakta yang tepat dan relevan, menentukan keputusan bagi setiap kes.

“Walaupun usaha telah diambil untuk menyelesaikan kes-kes ini, masih terdapat pihak tertentu yang mengancam untuk merobohkan struktur tersebut dengan mengambil tindakan sendiri.

“Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan serius, dan laporan polis telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Damansara berkenaan, meskipun banyak laporan polis telah dibuat berkait isu itu, namun seolah-olah tiada tindakan susulan yang jelas telah diambil.

Sedangkan, katanya, isu berkaitan rumah ibadat adalah sensitif dan mesti ditangani dengan penuh berhati-hati bagi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

Ujarnya, beliau juga telah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet, namun kuasa muktamad untuk mendakwa terletak pada Peguam Negara.

“Peguam Negara mesti menjelaskan mengapa maklum balas setakat ini begitu perlahan dan apakah langkah yang akan diambil untuk mengubah persepsi yang semakin meningkat bahawa tiada tindakan diambil bersabit isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast