KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa bersama universiti itu khususnya berdepan detik sukar termasuk tragedi meragut 15 nyawa pelajarnya.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, sokongan dan liputan media pada ketika itu banyak membantu memulihkan semangat warga UPSI yang berdepan dengan kesedihan mendalam.
“Pasukan media sentiasa bersama kami dalam susah dan senang serta membantu mengangkat kembali moral warga UPSI ketika berdepan saat amat mencabar,” katanya berucap pada Majlis Iftar Silaturahim UPSI Bersama Media dan Rakan Strategik 2026 di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Terdahulu, UPSI meraikan 94 wakil media dan rakan strategik daripada 28 agensi media serta 37 wakil dari 23 agensi rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan universiti berkenaan.
Selain itu, Md Amin berkata, penganjuran majlis itu merupakan platform bagi menghargai peranan media dan rakan industri yang sentiasa menyokong perkembangan serta pencapaian universiti itu.
“UPSI amat menghargai sumbangan media yang membantu mempromosikan pelbagai inisiatif serta kejayaan universiti kepada masyarakat.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan wartawan dan rakan industri, kerana berkat doa, bantuan dan promosi daripada kalian, UPSI kini menjadi sebuah universiti ternama, tersohor dan terkemuka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hubungan erat antara universiti, media dan rakan industri terus menjadi pemangkin kepada kejayaan UPSI di peringkat global.
“UPSI kini berada pada kedudukan 101 terbaik dunia dalam bidang pendidikan, selain menduduki tangga ke-156 terbaik di Asia dalam QS World University Rankings Asia 2026.
“Selain itu, UPSI juga berada di tangga ke-98 dunia dalam penarafan UI GreenMetric yang menilai komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurusan tenaga hijau,” katanya.
Md Amin turut berkata, UPSI akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri bagi memastikan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dapat diperkasa.
“UPSI akan terus kekal dengan fungsi asasnya sebagai universiti untuk masyarakat dan industri, selaras dengan legasi penubuhannya yang bermula sejak era Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922.
“UPSI tidak boleh berdiri sendiri. Universiti ini merupakan institusi masyarakat yang telah wujud lebih 100 tahun dan akan terus berperanan melahirkan generasi pendidik serta pemimpin masa depan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















