KUALA LUMPUR – Kecewa dengan keputusan penggantungan keahliannya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tampil mempersoalkan ketelusan Lembaga Disiplin parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa kini sudah tersasar daripada fungsi asalnya.

Menurut Naib Presiden Bersatu itu, jika penglibatannya dalam program RESET serta pertemuan bersama pemimpin parti lawan di Bangkok, Thailand dianggap sebagai kesalahan besar, tindakan pemecatan adalah lebih wajar berbanding sekadar hukuman gantung keahlian.

“Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja.

“Keputusan ini sebenarnya hanya menguatkan lagi persepsi bahawa Lembaga Disiplin kini digunakan sebagai ‘alat politik’ untuk melindungi presiden dan kelompok kecil di sekelilingnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersatu Sabah turut membangkitkan isu konflik kepentingan apabila mendakwa jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kepimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau, sejak dua tahun lalu, hala tuju Bersatu semakin jelas hanya tertumpu untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri ke-11.

Beliau juga mendakwa, mana-mana pemimpin yang diihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda tersebut akan disingkirkan secara sistematik menggunakan saluran disiplin seperti nasib yang menimpa bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Tambah Ronald lagi, wujud puak ‘ya-presiden’ secara terang-terangan telah diberi jawatan walaupun ada antara mereka yang kalah pemilihan dalam pemilihan parti.

Malah menurut beliau, terdapat sebilangan mereka yang dijanjikan watikah calon pilihan raya sebagai balas atas kesetiaan kepada Muhyiddin.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak akan sesekali mengemukakan rayuan terhadap penggantungan keahliannya.

“Saya menyertai parti ini dahulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu. Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut.

“Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat. Period,” katanya.

Lembaga Disiplin Bersatu mengeluarkan notis penggantungan kepada Roland kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Dalam notis berkenaan, Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, tindakan terhadap Ronald itu dibuat selepas pihak lembaga disiplin bermesyuarat semalam dan memutuskan beliau digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5.

Mohd Radzi berkata, segala jawatan yang dipegang Ronald dilucutkan dan beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

Beliau bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast