Nizam Abd. Manan menunjukkan kawasan projek pembinaan susur keluar berhampiran PPR Kg Limau.

KUALA LUMPUR – Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam menjelaskan tiada berlaku pencerobohan tempat letak kereta di depan Blok 94 oleh pemaju kondominium seperti yang didakwa segelintir penduduk di situ.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, pengerusi persatuan penduduk PPR tersebut, Nizam Abd. Manan berkata, kawasan parkir itu diambil oleh pemaju kondominium tersebut bagi pembinaan  laluan susur ke Jalan Klang Lama untuk penghuni kediaman mewah itu.

Meskipun begitu, penghuni PPR tersebut dibenar untuk menggunakan akses laluan tersebut.

“Bagi membolehkan projek itu dibangunkan, pemaju telah mengambil kawasan parkir 71 lot penduduk PPR tetapi diganti dengan tempat baharu yang mempunyai 85 petak.

“Cuma, lokasinya 50 meter lebih jauh dari Blok 94 kerana terletak di depan Blok 96,” katanya.

Penjelasan ini dibuat selepas sekumpulan kecil penduduk PPR Kampung Sungai Limau menuntut kawasan parkir mereka yang ‘diambil’ pemaju kondominium berkenaan dikembalikan semula.

Nizam Abd. Manan

Menurut Nizam, pembangunan laluan susur itu dilaksanakan projek kondominium mewah tersebut dan ia mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Lantaran itu, dakwaan kawasan tersebut diceroboh adalah tidak kena, tidak benar sama sekali,” tambah beliau.

Nizam berkata, sebelum projek pembinaan jalan susur dimulakan, pihak pemaju berkenaan bersama persatuan penduduk berbincang.

“Macam isu parkir ni, sudah diketahui penduduk kerana perbincangan bersama pemaju disertai oleh persatuan penduduk, KRT (kawasan rukun tetangga) dan jawatankuasa surau.

“Malah, setiap perkembangan projek turut dikongsikan dalam grup WhatsApp penduduk, sepatutnya tiada yang tertinggal,” katanya.

Lantaran itu, beliau hairan apabila isu yang dibawa ke pengetahuan media kerana kali terakhir mesyuarat diadakan tahun lalu dan tiada perkara berbangkit.

“Jadi, saya peliklah apabila ada penghuni yang seolah-olah tidak tahu tentang perkembangan projek ini,” tambah beliau.

Mohd Haniff M. A. Shamsuddin

Mengulas kebimbangan penduduk tentang keselamatan penghuni PPR tersebut ekoran lori keluar masuk, Timbalan Pengerusi PPR Kampung Limau. Mohd Haniff M. A. Shamsuddin berkata, isu itu tidak sewajarnya diperbesar-besarkan kerana pihak pemaju telah mengambil langkah keselamatan yang perlu.

Jelasnya, pemaju telah meletakkan penghadang jalan dan menempatkan pengawal untuk memastikan kawasan itu diselia sepanjang projek dijalankan sejak tahun lalu.

“Pada saya penduduk perlu bertolak-ansur kerana projek itu turut memberi kebaikan kepada penghuni PPR apabila siap nanti,” katanya sambil melahirkan rasa kecewa dengan dakwaan segelintir penghuni tentang pembangunan tersebut.

Ujarnya, projek pembinaan jalan susur itu dijangka siap selewat-lewatnya tahun depan.

Menjawab kekangan kawasan letak kereta di PPR itu, Mohd Haniff berkata, kekurangan parkir kerana di situ menjadi longgokkan kereta-kereta lama yang tersadai.

Beliau anggarkan terdapat 30 kereta lama yang tidak bergerak di kawasan tersebut.

“Kereta-kereta yang tersadai inilah yang menyumbang kekurangan kawasan petak parkir. Kita pun tak boleh hendak buat apa-apa kerana semuanya tertakluk kepada undang-undang,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Penduduk PPR Kampung Limau dakwa pemaju ‘ceroboh’ kawasan parkir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast