KUALA LUMPUR – Gerakan Rakyat Mempertahankan Hak (GARAH) menyelar sekeras-kerasnya siri serangan jenayah dan keganasan fizikal yang menyasarkan aktivisnya sejak minggu lalu, yang didakwa mempunyai kaitan dengan usaha gerakan itu menegakkan kedaulatan undang-undang berkaitan isu tanah.
Ketua (Sementara) GARAH, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, insiden terbaharu melibatkan serangan fizikal terhadap Zamri Vinoth pada 7 Mac lalu, disusuli serangan ke atas rumah serta pembakaran kenderaan milik Cikgu Chandra pada petang semalam dan awal pagi tadi.
“Serangan sedemikian tidak akan sesekali menghentikan tanggungjawab lebih 140 NGO di bawah naungan GARAH dalam menangani isu pencerobohan tanah awam dan pembinaan struktur rumah anutan haram yang telah berlarutan sejak lebih 68 tahun lalu.
“GARAH tidak akan membiarkan serangan-serangan bacul berbentuk jenayah oleh segelintir masyarakat daripada menghentikan tanggungjawab dan usaha GARAH dalam menegakkan kedaulatan undang-undang berhubung isu pencerobohan tanah awam mahupun tanah persendirian dan pengwujudan struktur rumah anutan haram di atas tanah-tanah berkenaan,” katanya.
Jelasnya lagi, GARAH juga amat kesal dengan insiden jenayah itu.
“Kami telah memajukan segala maklumat perlu kepada pihak tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempercepatkan siasatan serta mengenal pasti individu yang bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.
“Setiap maklumat sahih akan disalurkan bagi membendung hasrat segelintir kecil masyarakat yang melakukan serangan mahupun menyemarakkan hasutan bagi mencetuskan perbalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamed Haniff turut memetik kewujudan deretan hasutan dan ugutan di platform media sosial yang didakwa melibatkan segolongan pemimpin politik.
Dalam masa sama, katanya, GARAH menghulurkan jemputan terbuka kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer untuk mengadakan satu sesi dialog secara aman bagi membincangkan isu hak anutan agama dan pencerobohan tanah secara bertamadun.
“Demi menjunjung kedaulatan undang-undang, kami menjemput RSN Rayer untuk berdialog di tempat dan masa yang akan dipersetujui.
“Kita mahu topik berkaitan pencerobohan tanah dan kewujudan rumah anutan haram ini diperbincangkan berpaksikan undang-undang ke arah satu penyelesaian muktamad demi kemakmuran negara,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun pihaknya menghormati hak setiap rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing seperti yang dijamin Perlembagaan, namun pembinaan struktur rumah anutan tetap wajib mematuhi peruntukan undang-undang sivil dan administratif secara teratur.
“Buat masa ini, GARAH memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan pihak yang berkaitan sementara menunggu tindakan susulan daripada pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette















