HULU KELANG – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada satu pun bahagian parti itu dibubarkan walaupun terdapat laporan sebelum ini mendakwa banyak bahagian parti itu telah lumpuh.
Menurutnya, perlembagaan parti jelas menetapkan hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mempunyai kuasa untuk membubarkan mana-mana bahagian.
“Tidak ada bahagian yang berjaya dibubar. Ini perlu diketahui kerana sebelum ini ada laporan kononnya beberapa bahagian telah dibubarkan.
“Mengikut perlembagaan parti, hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sahaja mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian. Jadi pembubaran itu tidak berlaku,” katanya pada sidang penyerahan watikah dan majlis Iftar Bersatu di sini hari ini.
Muhyiddin menjelaskan, apa yang sebenarnya berlaku ialah peletakan jawatan beberapa pemimpin bahagian yang menyebabkan kekosongan jawatan.
“Apabila itu berlaku, maka kita ambil langkah menubuhkan jawatankuasa penaja atau mengisi kekosongan jawatan melalui Jawatankuasa Petugas Khas Penyusunan Bahagian dan Sayap,” ujarnya.
Beliau berkata, jawatankuasa tersebut yang dianggotai Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini sedang menyusun semula struktur organisasi parti di peringkat bahagian.
Katanya lagi, langkah itu juga melibatkan penyertaan semula beberapa tokoh pengasas Bersatu bagi memperkukuh organisasi parti.
“Ramai tokoh pengasas Bersatu yang sebelum ini agak tersisih kini kembali membantu memperkuatkan parti. Pada masa sama kita juga menampilkan lebih ramai pemimpin muda daripada Armada dan Srikandi untuk memimpin di peringkat negeri serta bahagian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan MPT bersetuju melantik Datuk Nolee Radzi sebagai Pemangku Ketua Srikandi Bersatu Malaysia dan Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan sebagai Pemangku Ketua Sayap Bersekutu Bersatu berkuatkuasa hari ini.

Muhyiddin berkata, Bersatu juga akan mengadakan konvensyen di semua negeri bermula April ini bagi membincangkan isu nasional termasuk ekonomi, pendidikan dan pembangunan negara. – MalaysiaGazette















