KUALA LUMPUR – Dalam mendepani tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa menerusi pelancaran inisiatif Menu Siswa Rahmah dan Tabung ‘Suspended Meal’ yang akan dilaksanakan sepenuhnya bermula semester hadapan.
Inisiatif tersebut digerakkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan kerjasama strategik Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) serta Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) sebagai langkah proaktif memastikan kebajikan serta kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara.
Program berkenaan merupakan komitmen universiti dalam membina ekosistem kampus yang kondusif, seimbang dan inklusif, di samping mempamerkan semangat kolaborasi rentas fakulti dalam menangani isu kebajikan mahasiswa secara menyeluruh.
Dekan FKPM, Prof. Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman menegaskan, pelaksanaan Menu Siswa Rahmah bukan sekadar menyediakan makanan pada harga mampu milik, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang terhadap kecemerlangan pelajar.
“Penyediaan Menu Siswa Rahmah pada harga RM5 bukan sekadar satu inisiatif kebajikan, malah merupakan usaha strategik dalam memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dalam persekitaran yang lebih kondusif.
“Kerjasama rentas fakulti ini mencerminkan nilai sinergi warga UiTM dalam memperkukuhkan ekosistem kampus yang prihatin dan sihat,” ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan, pengenalan Tabung ‘Suspended Meal’ menjadi platform unik untuk menyemai nilai kemanusiaan dan budaya saling membantu dalam kalangan warga universiti.
“Pendekatan ini membuka ruang kepada warga universiti untuk berkongsi rezeki secara langsung dengan menaja hidangan kepada pelajar yang memerlukan.
“Ia bukan sahaja memudahkan bantuan disalurkan dengan segera, malah menyemai nilai empati, ihsan, dan kebersamaan dalam komuniti kita.”
Dalam menjayakan pelaksanaan tersebut, pihak universiti merakamkan penghargaan kepada Capai Hasrat Enterprise selaku vendor kampus yang melaksanakan inisiatif itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Menerusi kolaborasi berkenaan, FKPM bertindak sebagai penggerak utama dalam aspek promosi dan hebahan, manakala urusan kutipan serta pengagihan tajaan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pengusaha bagi memastikan kelancaran pelaksanaan. – MalaysiaGazette
















