JOHOR BAHRU – Seorang ejen insurans didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak tunggalnya pada bulan lalu.

Tertuduh, Ng Cha Yee, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah menganiayanya sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tangga sebuah blok bangunan di Bandar Baru Permas Jaya, Masai di sini, kira-kira pukul 5 petang, 24 Februari lalu.

Tertuduh yang sudah bercerai dengan suami itu didakwa mengikut Seksyen 31(1) Αkta Κanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Seksyen itu turut memperuntukkan tambahan hukuman iaitu dikenakan bon jaminan untuk berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat antara 36 jam hingga 240 jam dalam masa enam bulan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada, tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan anak guamnya yang juga ibu tunggal hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM10,000 setakat ini.

“Tertuduh sudah bercerai dan kini bekerja sebagai ejen insurans dengan pendapatan RM3,900 sebulan. Dia mempunyai tanggungan dan komitmen bulanan antara RM2,500 hingga RM3,000 termasuk sewa rumah, ansuran kereta, makan minum dan lain-lain.

“Tertuduh tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis dari awal ditahan dan disiasat,” katanya.

Pihak pembelaan yang turut diwakili peguam Jason Nazrin Tan turut memberitahu mahkamah bahawa tertuduh hanya mengetahui bahawa terdapat laporan polis dibuat terhadapnya oleh bekas suami pada 6 Mac lalu ketika hadir ke balai polis untuk memaklumkan tentang ‘kehilangan’ anaknya.

“Pada 6 Mac lalu, ketika waktu giliran penjagaan anak, anak tertuduh tidak pulang ke rumah. Malah, guru besar ada hubungi tertuduh memaklumkan anaknya itu tidak hadir ke sekolah.

“Tertuduh cuba menghubungi bekas suaminya, namun gagal sebelum dia hadir ke balai polis untuk buat laporan, namun dimaklumkan terdapat satu laporan polis dibuat ke atasnya.

“Anak guam saya tidak langsung melarikan diri selepas mengetahui perkara itu, malah memberi kerjasama menunggu di balai polis sehingga ditahan, direman dan hari ini dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 terhadap tertuduh berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 13 April depan.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Cha Yee didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mencederakan anak tunggalnya

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast