PONTIAN – Hasrat enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba pulang ke kampung untuk meraikan Syawal tidak kesampaian apabila diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Piai, Kukup di sini malam tadi.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, semua PATI lelaki berkenaan ditahan pukul 11.30 malam selepas pihaknya menerima maklumat risikan pergerakan sebuah bot mencurigakan yang dipercayai membawa individu keluar dari negara secara haram.
“Susulan maklumat itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi dan berjaya mengesan bot berkenaan kira-kira 1.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai dalam Op Khas Pagar Laut 1/2026.
“Bagaimanapun, bot terbabit cuba melarikan diri ke arah perairan negara jiran sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Bot Perkasa 1243 kemudian mengejar bot terbabit sebelum berjaya memintas dan menahan enam lelaki dipercayai warga Indonesia yang berada dalam bot berkenaan.
Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 55 tahun itu dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai bagi tujuan siasatan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mereka dipercayai cuba keluar dari Malaysia menggunakan laluan laut yang tidak sah sebelum berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan laluan tidak diwartakan untuk keluar dari negara ini.
Kama Azri turut berkata, tangkapan tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan operasi berkenaan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan dan Syawal bagi memperkukuh kawalan keselamatan di perairan negara.
Jelas beliau lagi, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti sering digunakan sebagai laluan penyeludupan dan pergerakan PATI.
“Maritim Negeri Johor meningkatkan rondaan serta pemantauan dengan mengatur gerak aset dan anggota di kawasan tumpuan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara,” katanya.
Kama Azri menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menggunakan laluan laut tidak sah untuk keluar atau masuk ke negara ini.
Orang ramai khususnya komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan berkenaan aktiviti mencurigakan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 013-7001235.- MalaysiaGazette
















