KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dan tegas dalam menangani isu sensitiviti agama serta kaum bagi mengelakkan keadaan menjadi tegang atau mencetuskan kekecohan dalam masyarakat.
Pakar Bahasa dan Perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menegaskan, tindakan pantas oleh pihak berkuasa amat penting bagi memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa kerajaan serius dalam mengawal perkara yang boleh mencetuskan konflik sosial.
Beliau berkata, Malaysia boleh mengambil contoh pendekatan yang diamalkan oleh Singapura yang dilihat lebih cepat dan tegas dalam bertindak terhadap isu sensitif, sekaligus menghalang perkara tersebut daripada berlarutan.
“Kalau boleh sesuatu isu itu ditangani segera supaya ia tidak mencetuskan keadaan cemas atau ketegangan. Pendekatan tegas memberi mesej kepada rakyat bahawa kerajaan benar-benar serius menangani perkara yang boleh menimbulkan huru-hara,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas punca tercetusnya konflik sensitiviti agama, Teo yang juga Felo Majlis Profesor Negara berkata, antara faktor utama adalah kurangnya interaksi dan pergaulan antara kaum yang menyebabkan masyarakat kurang memahami budaya serta kepercayaan agama antara satu sama lain.
Menurutnya, keadaan itu akhirnya membawa kepada salah faham yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk.
“Apabila kita kurang bergaul, kita kurang memahami aspirasi dan amalan agama kaum lain. Akibatnya banyak salah faham boleh berlaku,” jelas beliau juga Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program pengetahuan antara budaya dan agama sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan kefahaman masyarakat.
Beliau menjelaskan, program berkenaan boleh dilaksanakan secara formal bagi memberi pendedahan kepada rakyat mengenai amalan agama dan budaya masyarakat lain supaya tidak timbul prasangka atau salah tafsir terhadap sesuatu amalan.
“Contohnya, apabila masyarakat memahami mengapa azan perlu dilaungkan kuat dalam Islam, maka tidak akan timbul persepsi negatif. Begitu juga dengan amalan budaya dan agama masyarakat lain,” kata ilmuan negara itu.
Tambah beliau, pemahaman yang lebih mendalam antara kaum akan membantu mengurangkan salah faham sekaligus memperkukuh keharmonian dalam masyarakat.
Pada masa sama, Kok Seong menegaskan, penguatkuasaan undang-undang berkaitan sensitiviti agama perlu dilaksanakan secara telus dan adil agar rakyat mempunyai keyakinan terhadap tindakan pihak berkuasa.
Katanya lagi, ketelusan dalam pelaksanaan undang-undang penting bagi memastikan masyarakat tidak mengambil tindakan sendiri apabila berlaku sesuatu insiden.
“Jika rakyat melihat sistem keadilan dilaksanakan secara sama rata dan tidak berat sebelah, mereka akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan tidak bertindak sendiri” katanya. – MalaysiaGazette
















