Ramanan semasa Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan meneliti beberapa langkah penjimatan termasuk mengurangkan penggunaan tenaga di pejabat kerajaan serta memperluaskan amalan bekerja dari rumah (WFH) dalam kalangan warganya sebagai usaha mengurangkan kos operasi kerajaan.

Menterinya, R. Ramanan berkata, langkah tersebut selari dengan pendekatan yang dilaksanakan beberapa negara lain seperti Thailand bagi memastikan perbelanjaan kerajaan dapat diurus secara lebih berhemah.

Menurut beliau, KESUMA juga menyokong keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan sebarang majlis rumah terbuka Aidilfitri yang melibatkan kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada tahun ini.

Katanya, keputusan itu dibuat sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Asia Barat termasuk ketegangan antara Iran dan Israel.

“Langkah ini juga bagi memastikan kerajaan menunjukkan contoh kepada rakyat dalam mengamalkan perbelanjaan secara berhemah,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa di kementeriannya di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan semua kementerian, jabatan kerajaan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil sebagai usaha berjimat-cermat dan mengutamakan kesiapsiagaan negara berikutan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan pada Jumaat ini bagi meneliti kedudukan fiskal negara selain memantau perkembangan semasa, khususnya impak ekonomi secara lebih dekat.

Sementara itu, Ramanan berkata, sekiranya kerajaan sendiri tidak mengamalkan langkah berjimat tetapi, meminta rakyat berbuat demikian, ia adalah sesuatu yang tidak adil.

“Kerajaan perlu memimpin melalui teladan,” katanya sambil menambah KESUMA akan membincangkan langkah yang boleh dilaksanakan bagi menyokong usaha penjimatan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast