KUALA LUMPUR – Malaysia mempergiat usaha menembusi pasaran pelancongan Eropah menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa ITB Berlin 2026.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penyertaan negara dalam pameran berprestij itu membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri pelancongan antarabangsa.
Menurutnya, pavilion Malaysia menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan wakil industri sepanjang acara tersebut.
“Sepanjang acara ini, saya turut mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan industri pelancongan antarabangsa bagi bertukar pandangan serta meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama,” katanya dalam kenyataan.
King Sing berkata, pasaran Jerman mempunyai potensi besar dengan populasi melebihi 80 juta orang, namun hanya kira-kira 188,928 pelancong dari negara itu melawat Malaysia pada tahun 2025.
Katanya, angka tersebut menunjukkan masih terdapat ruang yang luas untuk Malaysia meningkatkan kemasukan pelancong dari Eropah.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengadakan pertemuan dengan wakil Lufthansa City Center (LCC) International yang mempunyai rangkaian kira-kira 320 agensi ahli di 110 negara.
Perbincangan itu turut menyentuh mengenai pelancaran laluan penerbangan terus Frankfurt–Kuala Lumpur oleh Lufthansa yang dijadual bermula pada 25 Oktober tahun ini.
Menurutnya, pembukaan laluan itu bakal menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi keempat Lufthansa Group di Asia Tenggara selepas Bangkok, Singapura dan Phuket.
Selain itu, King Sing turut bertemu wakil syarikat pengendali pelancongan alam semula jadi dari Jerman, Diamir Erlebnisreisen GmbH bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor ekopelancongan serta pelancongan pengembaraan. -MalaysiaGazette















