Shazeli Kahar

KUALA LUMPUR – Seramai 25 warga asing ditahan dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis kitar semula barangan plastik yang dipercayai beroperasi tanpa lesen di Jalan Bestari, Kapar, Klang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 3.15 petang dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) hasil maklumat berhubung aktiviti perniagaan kitar semula yang dijalankan tanpa permit sah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan menjalankan aktiviti kitar semula barangan plastik dan dipercayai telah beroperasi selama kira-kira enam bulan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam serbuan itu kita tahan 25 individu bukan warga tempatan berusia antara 24 hingga 63 tahun yang terdiri daripada pemilik premis serta pekerja asing yang didapati tidak memiliki permit kerja sah selain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah satu unit dekoder CCTV, dua unit mesin perakam waktu bersama papan kad perakam waktu serta dua unit alat kawalan jauh pintu pagar utama premis bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekendhend 1946, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Shazeli menegaskan, setiap pengusaha diingatkan supaya mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa.

Menurutnya, tindakan tegas melalui operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras premis haram serta isu pendatang asing tanpa izin di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast