Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy menyeru semua pihak supaya menghormati sensitiviti agama dan menghentikan sebarang bentuk provokasi melampau yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan seorang individu dikenali yang didakwa memuat naik video memijak simbol trisulam, iaitu lambang suci dalam agama Hindu baru-baru ini.

Menurutnya, perbuatan tersebut merupakan tindakan biadap dan tidak bertanggungjawab kerana jelas menyinggung perasaan penganut agama Hindu.

“Tindakan memijak simbol trisulam bukan sahaja melukakan hati penganut Hindu, malah berpotensi menghakis keharmonian serta persefahaman antara kaum dan agama yang selama ini menjadi asas kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan.

Sivamalar berkata, perkara itu menjadi lebih membimbangkan apabila tindakan provokatif tersebut turut disertai kenyataan berbaur hasutan yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh tindakan individu berkenaan yang menghantar permohonan untuk menyertai PKR, yang menurutnya boleh menimbulkan persepsi tidak baik terhadap parti tersebut.

Katanya, individu terbabit juga secara terbuka mengakui bahawa pengumuman untuk menyertai PKR hanyalah sekadar troll atau gurauan.

“Tidak kelakar langsung ya. Tindakan mempermainkan proses keanggotaan parti politik sebagai bahan sensasi murahan adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan boleh mewujudkan precedent berbahaya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast