Antara dadah yang dirampas.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan termasuk sitaan harta lebih RM1.8 juta dalam tiga serbuan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Timur Laut bermula kira-kira jam 12 tengah hari bermula 9 Mac hingga 2 pagi keesokan hari itu turut membawa kepada tangkapan tiga individu termasuk seorang wanita.

Beliau berkata, mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 28 tahun itu dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis serbuk MDMA, ketamin dan pil Erimin 5.

“Serbuan pertama, kita memberkas seorang lelaki tempatan di kawasan parkir kenderaan di daerah Timur Laut dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, polis menemui 120 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk MDMA dengan anggaran berat 3,024 gram.

“Susulan tangkapan itu, polis kemudian dipandu arah oleh suspek ke kawasan parkir yang sama sebelum menahan masing-masing seorang lelaki dan wanita.

Azizee Ismail

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah motosikal, pihak polis telah merampas 119 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk MDMA dengan anggaran berat 2,213 gram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azizee berkata, polis seterusnya menjalankan serbuan ketiga di sebuah kediaman di Seberang Perai Utara hasil maklumat daripada suspek yang ditahan.

“Hasil pemeriksaan di kediaman tersebut, pihak polis merampas 252 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk MDMA dengan anggaran berat 5,220 gram, 18 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk ketamin dengan anggaran berat 515 gram serta tujuh keping aluminium foil yang setiap satu berisi 10 biji pil disyaki Erimin 5 dengan anggaran berat 19 gram.

“Jumlah keseluruhan rampasan membabitkan serbuk MDMA seberat 10,457 gram, ketamin 515 gram dan pil Erimin 5 seberat 19 gram dengan nilai dianggarkan RM1,595,700 yang boleh digunakan kira-kira 30,000 kali penggunaan.

“Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan polis menyita pelbagai aset bernilai RM224,544 dan sekali gus menjadikan keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan berjumlah RM1,820,244” katanya.

Mengulas lanjut Azizee berkata, hasil risikan mendapati kegiatan penyimpanan dan pengedaran dadah oleh ‘runner’ itu aktif sejak Disember tahun lalu.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tangkapan positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin, manakala semakan mendapati kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod lampau.

“Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 16 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast