GEORGE TOWN – Dua pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) di Hospital Seberang Jaya yang direman bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan didapati belum mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP).
Perkara itu dimaklumkan Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim yang berkata, kedua-dua pengasuh terbabit mempunyai tempoh perkhidmatan kurang dari setahun.
Menurutnya, hasil semakan turut mendapati taska yang menempatkan 44 anak asuhan termasuk mangsa itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mematuhi nisbah bilangan pengasuh dan kanak-kanak di bawah jagaan.
“Hasil semakan mendapati pusat jagaan tersebut beroperasi secara sah dan mematuhi syarat pendaftaran ditetapkan termasuk sistem National Integrated System of Childcare (NISPA), namun dua penjaga itu tidak mengikuti KAP.
“Saya difahamkan taska itu juga tidak melebihi kapasiti dan semua kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah merupakan anak kepada kakitangan Hospital Seberang Jaya.
“Malah, sebelum ini tidak pernah ada laporan berkaitan pengabaian kanak-kanak atau kes seumpamanya membabitkan pusat jagaan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Difahamkan, pengasuh wanita yang disyaki terbabit kes berkenaan baru mula bertugas pada September, manakala seorang lagi pada Mei tahun lepas.
Dalam perkembangan sama, Siew Khim turut menasihatkan pengusaha supaya menjalankan semakan latar belakang yang teliti sebelum mengambil pekerja serta memastikan latihan sewajarnya diberikan sebelum seseorang petugas dipertanggungjawabkan menjaga kanak-kanak, warga emas atau orang kurang upaya.
Jelasnya, semua penjaga wajib mengikuti KAP bagi memastikan tahap profesionalisme, tanggungjawab dan kualiti penjagaan berada pada standard ditetapkan, namun masih ada pengasuh di taska, tadika dan pusat jagaan (TTPJ) khususnya pengambilan baharu belum memenuhi syarat tersebut.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. JKM Pulau Pinang akan menjalankan pemeriksaan mengejut dengan lebih kerap dan semakan menyeluruh terhadap tahap pematuhan KAP dalam kalangan pengusaha dan pengasuh di semua TTPJ di negeri ini.
“Pendaftaran dan pemantauan adalah satu lapisan perlindungan yang penting, namun elemen kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab dalam penjagaan tetap perlu dipelihara dan dipastikan oleh pihak pengusaha sendiri.
“Sehubungan itu, insiden ini wajar menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa soal keselamatan, pemantauan serta pematuhan kepada standard operasi di pusat jagaan tidak boleh sama sekali dipandang ringan,” katanya.
Semalam media melaporkan JKM mengeluarkan Perintah Penutupan Sementara terhadap Taska Pintar Hospital Seberang Jaya berkuat kuasa serta-merta, susulan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak itu pada Isnin lalu.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez yang baru kira-kira sebulan dihantar ke taska berkenaan dipercayai meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh di premis itu.
Bayi berkenaan dilaporkan dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 4 pagi selepas dihantar ke pusat berkenaan pada malam sebelumnya. – MalaysiaGazette















