KUALA LUMPUR – Isu berkaitan penggunaan identiti atau logo melibatkan sebuah pertubuhan pelajar dengan Universiti Malaya (UM) wajar diselesaikan terlebih dahulu melalui perbincangan dan konsultasi, kata Kementerian Pendidikan Tinggi.
Menterinya,Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pendekatan dialog dan rundingan adalah lebih selari dengan semangat ekosistem universiti yang berteraskan keterbukaan, pendidikan serta pembangunan kepimpinan mahasiswa.
“Saya juga berpandangan bahawa perkara sebegini tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ke peringkat tindakan undang-undang sekiranya masih terdapat ruang untuk penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memberi respons terhadap surat tuntutan (LOD) yang dihantar oleh pihak Universiti Malaya kepada sebuah pertubuhan pelajar berkaitan penggunaan logo Universiti Malaya.
Katanya, setelah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan Universiti Malaya bagi memahami secara lebih terperinci berhubung isu itu, beliau berpendapat, perkara sedemikian sebaiknya ditangani melalui pendekatan lebih konstruktif dan berhemah.
Dalam masa saya, Zambry turut menegaskan persatuan atau gerakan pelajar yang aktif, sama ada berdaftar secara rasmi dengan universiti ataupun tidak, perlu sentiasa menghormati peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak universiti.
Ini khususnya dalam hal yang melibatkan penggunaan nama, logo dan identiti institusi.
Menurut beliau, sekiranya terdapat persatuan yang tidak berdaftar, pihak universiti juga boleh mengambil pendekatan yang lebih mendidik dengan memanggil serta memberikan panduan yang sewajarnya kepada mereka.
“Saya berharap pihak Universiti Malaya akan mengambil langkah yang lebih proaktif dan konsultatif dalam menangani isu ini, manakala pihak pelajar pula diharapkan dapat mendekati perkara ini dengan sikap terbuka serta semangat untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama,” katanya lagi.
Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa menggalakkan budaya dialog, persefahaman dan saling menghormati dalam ekosistem pendidikan tinggi negara. -MalaysiaGazette
















