KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines melanjutkan lagi penggantungan sementara perkhidmatan penerbangannya ke Doha sehingga 20 Mac 2026 susulan perkembangan terkini di rantau tersebut.
Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines berkata, syarikat penerbangan itu terus memantau situasi secara rapat melalui penilaian risiko berterusan serta Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang berkaitan sebelum operasi disambung semula.
Perkhidmatan ke Doha sebelum ini digantung bermula 28 Februari 2026 berikutan penutupan ruang udara di kawasan berkenaan susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Bagaimanapun, pada masa sama, syarikat penerbangan ini meningkatkan kapasiti pesawat badan lebar antara Asia dan Eropah bagi menyokong perjalanan seterusnya serta menyatukan semula ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penerbangan tersebut dikendalikan melalui laluan alternatif yang dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kawasan terjejas.
Sementara itu, semua perkhidmatan lain syarikat penerbangan nasional itu termasuk ke Jeddah, Madinah, London dan Paris terus beroperasi seperti dijadualkan.
“Keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan tertinggi kami,” kata MAG dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















