Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain

 

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menggerakkan pasukan petugas (task force) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bagi mengekang kegiatan penyeludupan bahan api ke negara jiran berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan minyak dunia.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata pihaknya turut menggerakkan unit risikan bagi mengesan aktiviti pembelian bahan api secara mencurigakan di stesen minyak berhampiran sempadan.

“Kami menggerakkan pasukan petugas serta unit risikan bagi mengesan sebarang aktiviti pembelian bahan api secara mencurigakan di stesen minyak berhampiran sempadan.

“Penyeludup kini menggunakan pelbagai taktik termasuk kenderaan persendirian dan komersial selain mengubah suai tangki minyak bagi meningkatkan kapasiti simpanan bahan api,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata PGA turut menjalankan rondaan di pangkalan haram serta laluan tidak sah di sepanjang tebing Sungai Golok.

Ahmad Radzi berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak termasuk pengusaha stesen minyak yang didapati bersekongkol dengan sindiket penyeludupan bahan api.

“PGA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan.

Semalam, Bernama melaporkan 48 stesen minyak di kawasan sempadan Kelantan-Thailand berada di bawah pemantauan berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bagi mengekang kegiatan pembelian petrol dan diesel, yang disyaki untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar dilapor berkata pemantauan harian itu dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa kementerian melalui dua syif bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Menurutnya, separuh daripada stesen minyak berkenaan dikenal pasti sebagai “hotspot” kerana berada dalam lingkungan sekitar 25 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter supaya tidak membebankan rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun harga minyak dilaporkan semakin meningkat di pasaran global, keadaan di negara ini masih lagi terkawal dengan ketetapan harga RON95 yang rendah menerusi subsidi bersasar. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast