Primas dan Presma menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon kerajaan meneliti semula proses kuota pekerja asing serta mempermudahkan prosedur permohonan sedia ada.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menggesa kerajaan memberi penjelasan segera berhubung kelewatan serta kekeliruan dalam proses permohonan kuota penggajian pekerja asing yang didakwa menjejaskan operasi sektor restoran di negara ini.

Presiden Primas, Datuk J. Govindasamy mendedahkan, kelewatan pelaksanaan proses tersebut menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pengusaha restoran yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.

Menurutnya, kerajaan pada Ogos tahun lalu mengumumkan bahawa permohonan kuota penggajian pekerja asing akan dibuka sehingga 31 Disember 2025, namun garis panduan serta tatacara permohonan hanya dikeluarkan pada Oktober tahun sama.

“Keadaan ini menyebabkan majikan mempunyai tempoh yang sangat terhad untuk menyediakan dokumen serta mengemukakan permohonan,” katanya dalam kenyataan bersama Primas dan Presma hari ini.

Jelas beliau, ketika majikan sedang melengkapkan permohonan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 19 Disember 2025 memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menangguhkan sesi temu duga serta menutup kaunter permohonan dari 26 Disember 2025 hingga 2 Januari lalu.

Katanya, kaunter berkenaan hanya kembali beroperasi pada 5 Januari lalu sebelum satu lagi pengumuman dibuat pada 24 Disember 2025 bahawa kuota pekerja asing telah penuh dan pengambilan ditutup sepenuhnya.

Dalam pada itu, Presiden Presma, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak menegaskan, kerajaan kemudiannya mengumumkan pembukaan tempoh khas bagi permohonan kuota pekerja asing bagi tahun 2025 melalui sebuah portal baharu bermula 19 Januari hingga 31 Mac ini.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini portal tersebut masih memaparkan status ‘Full – No Timeslots Available’, menyebabkan kebanyakan majikan tidak dapat membuat tempahan slot temu duga.

“Lebih membimbangkan, bagi permohonan pekerja gantian, dianggarkan hanya kira-kira satu peratus daripada pemohon menerima panggilan temu duga setakat ini, manakala selebihnya masih belum mendapat sebarang makluman lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, selain permohonan pekerja gantian, pengusaha restoran turut memohon kelulusan bagi pengambilan pekerja asing baharu bagi menampung kekurangan tenaga kerja yang semakin meruncing dalam industri tersebut.

Menurut kedua-dua persatuan itu, kelewatan serta ketidakpastian dalam pelaksanaan proses permohonan kuota berkenaan berpotensi memburukkan lagi masalah kekurangan pekerja dalam sektor restoran.

Sehubungan itu, Primas dan Presma memaklumkan satu memorandum telah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon kerajaan meneliti semula proses kuota pekerja asing serta mempermudahkan prosedur permohonan sedia ada.

Mereka berpandangan langkah segera perlu diambil kerana pengusaha restoran kini berdepan kekurangan pekerja asing yang serius dan keadaan tersebut dijangka bertambah buruk sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dengan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast