KUALA LUMPUR – Pasaran global kini berdepan “pukulan berganda” akibat ketidaktentuan harga tenaga dan ketegangan perdagangan kembali memuncak.
Ketua Pegawai Eksekutif deVere Group, Nigel Green berkata, keadaan itu berlaku apabila pasaran minyak melonjak susulan konflik di Iran yang semakin memuncak, ditambah dengan siasatan perdagangan baharu secara meluas terhadap banyak ekonomi terbesar dunia oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Minyak mentah Brent melonjak ketara pada Khamis, seketika melepasi AS$100 setong selepas serangan Iran terhadap infrastruktur tenaga dan laluan perkapalan di seluruh Teluk meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan.
Lonjakan itu berlaku meskipun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengumumkan pelepasan kecemasan rizab minyak terbesar dalam sejarah, sekitar 400 juta tong, termasuk kira-kira 172 juta tong daripada Rizab Petroleum Strategik Amerika Syarikat.
Green berkata, lonjakan semula harga minyak ke paras AS$100 setong menunjukkan pasaran tenaga sedang bertindak balas terhadap kejutan geopolitik yang sebenar.
“Serangan Iran terhadap kapal tangki minyak, pelabuhan dan infrastruktur di seluruh Teluk secara tiba-tiba meningkatkan risiko gangguan besar terhadap Selat Hormuz – salah satu laluan minyak paling penting di dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
deVere Group adalah salah sebuah organisasi penasihat kewangan bebas terbesar di dunia.
Menurutnya, kira-kira satu perlima aliran minyak global biasanya melalui Selat Hormuz, menjadikan sebarang ketidakstabilan di laluan itu memberi kesan segera kepada bekalan dan harga global.
“Malah gangguan separa kepada perkapalan melalui Selat Hormuz pun membawa kesan besar kepada pasaran.
“Pedagang tenaga menetapkan harga risiko dengan segera. Setiap serangan terhadap infrastruktur, setiap serangan ke atas kapal tangki, setiap ancaman terhadap perkapalan akan terus mempengaruhi harga minyak,” ujarnya.
Menurut Green, pergerakan pasaran baru-baru ini menunjukkan tahap kebimbangan yang tinggi apabila harga Brent telah melonjak lebih 30 peratus sejak konflik bermula, mencerminkan premium risiko yang semakin meningkat terhadap bekalan dari Timur Tengah.
Pada hari Rabu, IEA yang bekerjasama dengan negara-negara di seluruh dunia untuk membentuk dasar tenaga yang selamat dan mampan, bersetuju melepaskan 400 juta tong minyak daripada rizab kecemasan.
Ia adalah pelepasan terbesar pernah dilakukan selepas perang di Timur Tengah menyebabkan harga melonjak.
“Pasaran telah melihat pengumuman pelepasan rizab minyak kecemasan terbesar dalam sejarah, namun harga masih meningkat dengan ketara. Ini menunjukkan risiko geopolitik kini lebih besar berbanding kesan penstabilan daripada rizab tersebut,” kata beliau lagi.
Pentadbiran Trump telah melancarkan siasatan baharu terhadap 16 rakan dagang utama dalam usaha membina semula rangka kerja tarif selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan tarif timbal balik sebelum ini sebagai tidak sah.
Negara yang terlibat dalam siasatan itu termasuk China, Kesatuan Eropah, Mexico, Jepun, India, Korea Selatan, Switzerland dan Norway, antara lain.
Menurut Green, skop tindakan itu meningkatkan semula ketegangan perdagangan global.
“Washington telah membuka satu lagi medan luas dalam perdagangan global. Siasatan terhadap ekonomi utama menghantar isyarat jelas bahawa pertikaian tarif sekali lagi kembali menjadi fokus utama dasar ekonomi,” jelas beliau.
AS itu turut mengenakan tarif sementara sementara siasatan dijalankan, dengan pegawai kerajaan berusaha membina struktur tarif jangka panjang yang baharu bagi menggantikan langkah yang dibatalkan oleh mahkamah.
Menurut Green, peningkatan serentak risiko tenaga dan pertikaian perdagangan mewujudkan persekitaran yang amat mencabar bagi pasaran.
“Ketidaktentuan tenaga mendorong tekanan inflasi dan meningkatkan kos pengeluaran di seluruh ekonomi global.
“Konflik perdagangan pula mengganggu rantaian bekalan, aliran pelaburan dan perdagangan antarabangsa. Apabila kedua-dua faktor ini berlaku serentak, ia mewujudkan persekitaran risiko yang jauh lebih kompleks.”
Pasaran saham global sudah mula menunjukkan reaksi berhati-hati apabila pelabur menilai implikasi terhadap pertumbuhan ekonomi, inflasi dan keuntungan korporat.
“Kenaikan harga minyak secara pantas memberi tekanan segera kepada kos pengangkutan, pembuatan dan logistik. Apabila pertikaian tarif turut meningkat, syarikat akan berdepan ketidaktentuan yang lebih besar berkaitan rantaian bekalan, harga dan permintaan,” tambahnya.
Perniagaan yang mempunyai rangkaian bekalan merentasi sempadan berdepan cabaran lebih besar jika tarif berkembang ketika kos tenaga meningkat.
“Keputusan korporat menjadi jauh lebih rumit. Kejutan tenaga mempengaruhi kos operasi manakala ketegangan perdagangan mengubah rantaian bekalan. Banyak syarikat multinasional mungkin terpaksa berdepan kedua-dua tekanan ini serentak.
Secara sejarah, pasaran kewangan sering bergelut apabila kejutan komoditi berlaku serentak dengan dasar perdagangan yang bersifat perlindungan.
“Ketidakstabilan tenaga sahaja sudah cukup untuk menggoncang pasaran dan pertikaian perdagangan sahaja boleh melemahkan jangkaan pertumbuhan.
“Apabila kedua-duanya berlaku sekali gus, itulah ‘pukulan berganda’ yang sedang dihadapi pelabur ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















