KUALA LUMPUR — Polemik Rumah Bangsa semakin panas apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tampil membidas keras kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa inisiatif itu sebagai cubaan UMNO untuk kembali menjadi ‘abang besar’ politik Melayu.
Dr Muhamad Akmal menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak tepat dan tersasar daripada matlamat sebenar gagasan berkenaan yang menurutnya digerakkan atas dasar penyatuan, bukan dominasi.
“Rumah Bangsa ini adalah cara untuk kita menyatupadukan orang Melayu yang banyak terpecahnya,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Menurutnya, inisiatif itu lahir daripada kesedaran bahawa perpecahan politik Melayu-Islam hanya melemahkan kuasa tawar-menawar umat sendiri dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.
“Tiada langsung kenyataan rumah bangsa ni untuk sesiapa menjadi abg besar, malah kenyataan presiden UMNO menyatakan penyatuan tanpa syarat lagi kerana kepentingan menyatukan agama bangsa ini melebihi dari kepentingan individu,” katanya.
Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan mempersoalkan cadangan penubuhan Rumah Bangsa oleh UMNO dan menyifatkannya sebagai usaha parti itu untuk kembali berkuasa serta mengekalkan pengaruh dominan dalam politik negara.
Malah, beliau turut membayangkan cadangan tersebut sebagai langkah UMNO mendekati semula parti-parti Melayu selepas berdepan tekanan politik kebelakangan ini.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa aspirasi sebenar rakyat adalah melihat kekuatan politik Melayu-Islam diperkukuh dan disatukan, bukannya terus terheret dalam perbalahan elit politik.
“Rakyat mahukan kuasa Melayu Islam menjadi kuat dan tidak terpecah itu agenda sebenarnya,” ujarnya.
Beliau secara sinis menambah bahawa perpecahan hari ini bukan berpunca daripada rakyat, tetapi daripada sikap pemimpin yang gagal mengetepikan ego.
“Rupanya yang berpecah ini bukan rakyat, tetapi pemimpin yang masih lagi ego. Jika ego masih lagi menebal, berpecah lah bangsa kita selamanya,” katanya lagi.
Dr. Muhamad Akmal turut mengingatkan bahawa kepentingan agama dan bangsa mesti mengatasi kepentingan parti, terutama ketika orang Melayu-Islam berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik yang semakin kompleks.
“Kepentingan agama bangsa melebihi kepentingan parti politik!” tegas beliau.
Untuk rekod, Rumah Bangsa ialah inisiatif politik UMNO yang dilancarkan bagi menyatukan semula orang Melayu, termasuk mempelawa ahli yang dipecat atau digantung kembali ke dalam parti itu, dan dilihat sebagai strategi jangka panjang menjelang PRU-16, meskipun ia terus mengundang reaksi berbeza dalam kalangan pemain politik. — MalaysiaGazette
















