Seramai 13 kru sebuah bot kargo terselamat selepas bot dinaiki karam akibat bocor di perairan berhampiran Pulau Seri Buat, Mersing malam tadi.

MERSING – Seramai 13 kru sebuah bot kargo terselamat selepas bot dinaiki karam akibat bocor di perairan berhampiran Pulau Seri Buat di sini malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 8.30 malam sebelum disalurkan kepada Zon Maritim Mersing untuk tindakan lanjut.

“Sejurus menerima maklumat, Bot Penggalang 43 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang menjalankan rondaan Op Jaksa, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut digerakkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati bot kargo berkenaan sudah karam. Bagaimanapun, kesemua 13 kru terlebih dahulu diselamatkan oleh sebuah bot pancing tempatan yang berada berhampiran ketika kejadian pukul 11.30 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa kemudian dipindahkan ke Bot Penggalang 43 sebelum dibawa ke Jeti Awam Penyabong untuk tindakan lanjut.

Katanya, kesemua kru bot kargo berusia antara 19 hingga 63 tahun itu merupakan warga tempatan dan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, Suhaizan turut merakamkan penghargaan kepada komuniti nelayan tempatan yang bertindak pantas membantu menyelamatkan mangsa sebelum pasukan maritim tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, tindakan pantas komuniti maritim tempatan membuktikan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan di perairan negara sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast