KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) membuka peluang kepada pekerja gig dan kakitangan kontrak kerajaan untuk memiliki rumah pertama dengan usahasama Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), sekali gus memperluas pemilikan rumah secara lebih inklusif.
Menerusi inisiatif itu, BSN menawarkan pembiayaan perumahan melalui MyFirstHome-i dan BSN MyHome-i SJKP MADANI yang lebih fleksibel, dilengkapi proses dokumentasi yang dipermudah serta kaedah pengesahan pendapatan alternatif bagi pemohon tanpa slip gaji tetap.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan BSN dalam memperkukuh peluang pemilikan rumah kepada rakyat Malaysia, khususnya mereka yang mempunyai sumber pendapatan tetapi berdepan kekangan dari segi dokumentasi.
“Ramai pekerja gig sebenarnya mempunyai pendapatan yang stabil, namun sering berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana keperluan dokumentasi tertentu.
“Melalui SJKP, BSN membuka ruang kepada lebih ramai dalam kalangan mereka untuk mendapatkan pembiayaan dan merealisasikan impian memiliki rumah pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai langkah permulaan, bagi segmen pekerja gig, BSN menjalinkan kerjasama dengan foodpanda Malaysia bagi memudahkan pemohon mengemukakan dokumen sokongan alternatif seperti surat pengesahan pekerjaan dan rekod pembayaran.
Sementara itu, bagi kakitangan kontrak kerajaan pula, BSN telah diperuntukkan dana sebanyak RM500 juta melalui Belanjawan 2026 bagi menyokong pembiayaan rumah pertama mereka, di samping memperluas peluang pemilikan rumah mampu milik bersama PR1MA.
Seiring dengan inisiatif tersebut, BSN turut melancarkan kempen ‘Rumah untuk Semua’ bermula 1 Februari hingga 30 Jun depan, yang menawarkan 30 hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM50,000 kepada pelanggan yang mengambil pembiayaan minimum RM100,000.
Langkah awal inisiatif itu disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam satu majlis semalam, yang menandakan komitmen BSN memperluas peluang pembiayaan perumahan kepada pekerja gig dan kakitangan kontrak kerajaan melalui SJKP.
Ia sekali gus, membuka ruang kepada lebih ramai rakyat untuk merealisasikan impian memiliki rumah pertama mereka.
Dalam majlis sama, Amir Hamzah turut melawat para penjaja di Bazar Ramadan Putrajaya yang menyertai program BSN Cashless 1,000 Penjaja 2026.
Daripada 290 penjaja yang berniaga di bazar tersebut, seramai 107 penjaja telah dilengkapi dengan kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui kod QR dan soundbox BSN.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha BSN untuk menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai, khususnya dalam kalangan peniaga mikro. – MalaysiaGazette
















