KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan desakan DAP supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat sebagai satu ‘wayang opera’ semata-mata.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ramalannya pada minggu lalu nyata terbukti apabila sehingga kini tiada sebarang tindakan konkrit diambil meskipun DAP merupakan sebahagian daripada blok kerajaan.
“Minggu lepas saya sudah nyatakan bahawa desakan DAP agar kerajaan tubuhkan RCI untuk siasat dakwaan ‘mafia korporat’ dan hubungannya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanyalah satu wayang opera semata-mata, ia tidak akan sampai ke mana.
“Hari ini, hanya selepas seminggu terbukti ia benar-benar satu wayang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa, jika DAP benar-benar serius dalam isu integriti dan mahukan penubuhan RCI tersebut, parti itu mempunyai kedudukan kukuh untuk mendesak tindakan daripada barisan Kabinet.
“Jika DAP serius mahukan RCI, ada tindakan yang boleh DAP ambil agar kerajaan bertindak. Tapi itulah…. sebab ia hanya wayang,” tambahnya lagi.
Terdahulu, beberapa pemimpin DAP mendesak agar satu siasatan bebas dan telus dilakukan berhubung dakwaan penglibatan tokoh korporat tertentu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan agensi penguatkuasaan sehingga mencetuskan polemik mengenai integriti institusi tersebut.
Kenyataan Ahmad Fadhli ini hadir ketika blok pembangkang terus mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu tatakelola dan campur tangan dalam urusan korporat dan penguatkuasaan di negara ini.
Menerusi temu bual program dalam talian The Keywords, Loke berkata, DAP akan terus memantau perkembangan kes mafia korporat ni biarpun partinya gagal meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan RCI. – MalaysiaGazette
















