KUALA LUMPUR – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Nazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Nur Dinie Sani Hasrul Sani, 25, pukul 12.16 tengah hari.
Wanita itu dipercayai hilang kira-kira jam 6.30 pagi dan alamat terakhirnya adalah di Apartment Sri Cempaka, Jalan Sepakat Indah 2/1, Taman Sepakat, Kajang.
Wanita berkenaan berketinggian kira-kira 155 sentimeter (cm), berbadan kurus dengan anggaran berat antara 48 hingga 49 kilogram (kg) serta dilaporkan memakai blazer hitam dan seluar panjang ketika kali terakhir dilihat, katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebarang maklumat juga boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Khairulazwan Yunus di talian 013-4480997. – MalaysiaGazette
















