KUALA LUMPUR — Pas Selangor memilih untuk tidak masuk gelanggang berhubung pengganti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri yang kini dikosongkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan pusat membuat keputusan muktamad.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Ab Halim Tamuri menegaskan, pihaknya tidak mencadangkan sebarang nama bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan selepas peletakan jawatan Mohamed Azmin hujung tahun lalu.
“Kita serah pada pusat tentukan. Pemilihan Pengerusi PN Selangor ditentukan di peringkat pusat, bukan negeri. Tak ada nama dicadangkan. Lantikan dibuat atas keputusan mesyuarat PN Pusat dan kita ikut sahaja,” kata ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Pas Selangor di Shah Alam malam tadi.
Mengulas desakan Pemuda Pas Selangor yang mencalonkannya sebagai pengganti Azmin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu pantas meredakan spekulasi.
“Itu pandangan peribadi, bukan pendirian rasmi Pas Selangor,” tegasnya ringkas.
Mohamed Azmin bertindak mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor susulan tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu pada 30 Disember tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Ab Halim turut diasak mengenai persepsi bahawa Pas kini lebih mesra dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berbanding kepimpinan Bersatu.
Beliau menolak tanggapan itu dan menegaskan Pas tidak memihak kepada mana-mana kem dalam Bersatu khususnya di Selangor.
“Pas ambil pendekatan sama. Kita tak memihak kepada mana-mana kumpulan. Di Selangor, hubungan dengan Bersatu sangat rapat dan tak ada masalah.
“Tempat lain saya tak boleh komen tetapi di Selangor tak ada apa-apa isu. Dalam Pas pun kita tak sokong mana-mana kem,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















